Wednesday, September 17, 2008

KOSMO - 17 SEPT 2008


BIAR hanya Farid Kamil dan Jehan sahaja yang hadir, namun majlis meraikan anak-anak yatim anjuran The Curve ini tetap ceria.



PRIHATIN. Farid Kamil dan Jehan (foto kanan) sedang melayan anak-anak yatim.

NEWSPAPER CLIPPINGS
Home > Newspaper Clippings > Farid Kamil Bergelar Pendekar

17 September 2008 : Kosmo
FARID KAMIL BERGELAR PENDEKAR

Oleh HARYATI KARIM

SUDAH acap kali khalayak melihat wajah jejaka putih melepak ini di layar perak, bukan satu atau dua filem yang pernah menggunakan khidmatnya tetapi sudah melebihi 20 buah filem.
Tidak mahu angkuh dengan apa yang dimilikinya hari ini, Farid Kamil mengatakan banyak lagi perkara yang harus dipelajari untuk bergelar seorang aktor terbaik.
Ini kerana sungguhpun tercalon sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) Ogos lalu, dia masih gagal untuk menyakinkan pihak juri bahawa trofi kemenangan adalah miliknya.
"Saya gembira kerana tercalon, tidak menang bukan rezeki, mungkin saya belum cukup bagus untuk memegang trofi ataupun mana-mana anugerah.
"Apa pun saya akui setiap pelakon mengidamkan trofi anugerah termasuklah saya. Bukannya apa, itu adalah pengiktirafan serta bukti peningkatan untuk diri sendiri serta menunjukkan yang bakat kita ini dilihat oleh orang lain," ujarnya.
Dalam tempoh enam tahun bergelumang dalam industri ini, Farid menjelaskan sudah banyak pahit manis yang dilaluinya dan daripada matanya dia melihat sendiri anjakan perubahan industri seni terutama filem Malaysia.
"Kalau dulu, masa saya mula-mula masuk industri, lakonan saya agak keras macam kayu, lama kelamaan ia mula berubah secara perlahan-lahan.
"Tetapi ini tidak bermakna saya tidak boleh ditegur. Saya sentiasa ditegur oleh teman-teman yang mengenali saya sebelum bergelar pelakon lagi kerana merekalah yang paling jujur dalam mengkritik mutu lakonan saya," jelasnya lagi.
Selain itu, Farid menegaskan dia telah mula perasan jurang teknologi perfileman antara Hollywood dan Malaysia semakin berkurangan.
"Jika dulu, adalah dekat 60 tahun kita di belakang mereka. Sekarang ini dengan kemasukan teknologi moden, saya rasa kita ketinggalan dalam 40 tahun saja. Mungkin jumlah itu akan berkurangan dari hari ke hari.
"Maksudnya masa itu orang Hollywood pun akan lihat filem kita, jadi kena usaha dan bawa teknologi yang membantu filem kita untuk mencapai kualiti sama seperti mereka," ulasnya lagi.

Terima watak kerana Ahmad Yatim
Farid yang ditemui semasa majlis berbuka puasa anjuran The Curve Damansara bersama anak-anak istimewa baru-baru ini sempat memberitahu, dia kini sibuk dengan latihan filem terbarunya yang berjudul Ransan.
Filem genre aksi ini memaparkan dunia masa hadapan yang serba moden tetapi diterapkan nilai kemelayuan apabila intipati filem ini berkisar tentang dunia persilatan Melayu.
"Sebenarnya mula-mula saya mahu dapatkan watak ini saya agak takut sebab yang datang uji bakat hampir 150 orang pesilat negara dan saya bukannya pandai bersilat sangat sebab saya ada asas taekwando bukannya silat (ketawa).
"Tetapi syukur alhamdulillah, masa uji bakat saya buka saja langkah dan saya berjaya juga dapat watak dalam filem itu sebagai Jingga.
"Sebelum ini pengalaman berlakon filem silat seperti ini, hanyalah menerusi filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang. Itu saja, tetapi ia sedikit sebanyak telah memberi keyakinan pada saya," tuturnya.
Tambahnya lagi, selain jalan cerita yang menarik, sebab utama dia memilih untuk menerima tawaran filem ini hanya kerana Ahmad Yatim yang turut sama berlakon.
"Boleh dikatakan kerana Ahmad Yatim saya tanpa teragak-agak menerima tawaran ini kerana sebelum ini saya tidak pernah berkesempatan berlakon dengannya, jadi ini peluang yang tidak boleh dilepaskan," luahnya jujur.
Bagi menjiwai watak sebagai seorang pendekar dalam filem arahan Raja Mukhriz ini, Farid mengatakan dia sibuk membuat latihan membaca skrip selain mengikuti kelas silat untuk memahirkan lagi dirinya dalam ilmu silat.
"Pengarah mengatakan selagi saya tidak boleh jadi pendekar jangan jumpa dia (ketawa), sebab itu saya bertungkus-lumus untuk memahirkan diri dalam ilmu persilatan ini.
"Sekarang ini, saya hanya pergi ke kuliah, hadiri latihan untuk filem ini serta penuhi jemputan majlis berbuka puasa. Itu saja agenda saya sepanjang bulan puasa ini. Saya memberi tumpuan sepenuhnya untuk filem Ransan," tegasnya.
Sebagai Jingga, Farid bakal melakonkan watak seorang ejen kerajaan yang cuba menyelamatkan legasi dunia silat seantero dunia.
Apa yang uniknya, filem ini tiada heroin, malah Farid juga akan dibekalkan dengan beberapa peralatan canggih yang padanya sesuatu yang cukup mengujakan.
"Seronoklah, sebab saya tidak pernah berlakon dalam sebegini dan ini percubaan pertama saya, harap ia akan menarik perhatian penonton apabila ditayangkan kelak," bicaranya lagi.
Selain Farid dan Ahmad Yatim filem ini turut dibintangi Aaron Aziz, Eman Manan dan Sharifah Amani.
Mendekati anak-anak istimewa
Sementara itu, Farid turut ditemani sahabatnya aktor Jehan Miskin pada majlis berbuka puasa anjuran The Curve itu. Mereka berdua sempat melayani kerenah anak-anak istimewa daripada Pusat Anak-Anak Istimewa Sayang.
"Ini kali pertama saya bersama anak-anak istimewa, selalunya dengan anak-anak yatim saja. Mereka ini memang agak sukar untuk dikawal, tetapi kalau kita kenal mereka, agak mudah untuk berkomunikasi dan menjaga mereka.


________________________________________
"Walaupun cuma sekejap, saya rasa seronok, setidak-tidaknya masa saya terisi juga dengan kerja-kerja amal sebegini, mungkin untuk masa akan datang jika ada kelapangan saya akan turut serta lagi dengan majlis seperti ini," tuturnya.
Manakala, Jehan pula memberitahu dia begitu senang melayani anak-anak istimewa ini, malah dalam masa yang singkat sahaja Jehan telah mula mengenal beberapa orang anak-anak istimewa ini.
"Mereka sangat memerlukan perhatian, walaupun tidak sampai beberapa jam saya dengan mereka, tetapi saya sudah kenal karakter beberapa orang anak istimewa ini.
"Apa yang saya lihat, lelaki lebih agresif berbanding perempuan. Kalau perempuan mudah dikawal dan agak senang untuk kita berborak dengan mereka, yang lelaki susah sikit.
"Tetapi kalau mereka sudah mula menerima kita, semuanya menjadi senang dan sekarang ini pun saya sudah selesa dengan mereka. Saya harap banyak lagi badan korporat akan membantu anak-anak senasib dengan mereka ini," kata Jehan mengakhiri bicara.

No comments: